Daripada maklumat yang diterima, penduduk daerah Ranau kini menghampiri 90 ribu orang dan 46% daripadanya beragama Islam. Inilah hasil dakwah berterusan pelbagai pihak yang mulanya dipelopori Mandur Syarif kemudian bersambung dengan usaha para penggiat dakwah secara berkumpulan atau sebaliknya. Semalam di Rest House Lohan, sebelum Mesyuarat Biro Kebajikan dan Ekonomi Badan Dakwah Daerah Ranau bermula, saya sempat bersembang dengan Tuan Hj. Safrin Karim tentang perkembangan terkini Cahayafm kerana mengambilkira kedudukan beliau sebagai penasihat Cahayafm
Menariknya, dalam perbualan itu, beliau secara jujur memberikan jawaban terhadap apa yang saya persoalkan tentang perkembangan dan maklumbalas masyarakat terhadap Cahayafm dengan menyatakan bahawa kebangkitan dan kesedaran dalam melihat keperluan dan kepentingan dana untuk aktiviti dakwah bukan tidak ada dalam diri individu Islam, bahkan kalau mereka dihidangkan dengan pelbagai info dakwah mereka sememangnya mahu mendengar malah kelihatan sangat bersemangat. Namun, bila masuk bab ‘KOS’, kebanyakan orang-orang kaya bersikap lewa dan agak berkira bahkan ada juga yang liat memberikan sumbangan. Akhirnya, proses dakwah yang sepatutnya digerakkan dengan cepat terbantut begitu sahaja malah mati tanpa meninggalkan kesan rasa berdosa atau sekurang-kurangnya rasa bersalah di hati orang-orang berkemampuan.
Demikian, pandangan Tuan Haji Saprin Karim terhadap topik bualan malam itu. Beliau yang baru balik dari Kembara Dakwah bersama rombongan Keluarga Mesra Ranau juga akan ke negara China pada Julai ini untuk melihat sendiri bagaimana Islam dihayati dan diamalkan oleh umat Islam China. Program kembara ini turut bertujuan agar mereka yang terlibat benar-benar membuka minda selepas ini sekali gus memikirkan bagaimana dakwah dapat diaplikasi dan dikembangkan secara lebih berkesan dalam masyarakat Dusun.
Alhamdulillah, dalam mesyuarat ini Cahayafm telah dijadikan sebagai penyiar rasmi kepada Program Karnival Aidilfitri kendalian Badan Dakwah Daerah Ranau dengan kerjasama Keluarga Mesra Ranau. Program ini turut diterajui oleh beberapa orang pemimpin berkaliber. InsyaAllah, Cahayafm bakal menemubual mereka dalam waktu terdekat. Sebagai radio online yang membawa jenama islamik, Cahayafm telah diberi ruang bersuara dalam mesyuarat tersebut. Mewakili Cahayafm, beberapa pandangan telah saya sampaikan dan seperti biasa, saya sekali lagi mengajak dan mencabar pihak-pihak berkaitan agar sama-sama bekerjasama serta menggunakan media ini secara maksimum agar seluruh info dan perkembangan semasa dakwah dapat disebarluas serta dikongsikan bersama dengan pelayar-pelayar internet seantero dunia.
Sehari sebelum kembali ke Ranau, saya sempat berhubung dengan peneraju sebuah persatuan mualaf Dusun Kimaragang ,saudara Janathan Kandok. InsyaAllah, beliau memberi lampu hijau untuk satu pertemuan bersama Cahayafm. Pertemuan ini diharap akan berlaku dalam masa terdekat. Cahayafm juga dalam perancangan untuk ke Melaka bagi mendapatkan buku-buku Panduan Solat dan Quran yang disumbangkan oleh seorang hamba Allah untuk diagih-agihkan kepada masyarakat Dusun Islam. Pun, semua ini bergantung kepada kos. InsyaAllah, pencarian dana akan kita anjurkan selepas ini untuk menampung kos pengambilan dan penghantaran Quran dan buku-buku yang diberi percuma oleh dermawan tersebut kepada individu-individu berkaitan. Kepada orang-perseorangan yang ingin sama-sama beramal jariah bolehlah berhubung terus kepada Cahayafm.
Sumber;