Blog ini dibangunkan kerana melihat kesungguhan beliau dalam membangunkan Islam khususnya di Daerah Ranau dan sebagai tanda penghargaan, portal ini dibangunkan dengan mengambil nama beliau.

- Fantasi Media

Selasa, 14 Jun 2011

Kembara Dakwah


Kembara Dakwah ke Negara China pada Julai 2011 merupakan penutup kepada beberapa siri kembara sebelum ini. Namun, siri umrah kali kedua bakal diadakan dan ia melibatkan imam-imam qaryah dan juga bilal-bilal daerah Ranau. Kenyataan ini  diberikan sendiri kepada Cahayafm oleh Tuan Haji Safrin bin Karim dalam pertemuan baru-baru ini bertempat di kediamannya. Umum layak memberi penghargaan kepada individu-individu seperti beliau kerana kedudukan mereka sebagai sebahagian penggerak dakwah dalam masyarakat. Dalam perbualan, beliau menambah bahawa sekembali dari Kembara Dakwah Negara China serta sejurus  terlaksana Karnival Aidilfitri,  pembentukan AJK bertindak bagi merealisasikan pembinaan pondok di sebuah kawasaan yang telah dikenalpasti sesuai dijadikan pusat tarbiah bagi anak-anak Dusun bakal diadakan. Pewujudan pusat ini sekali gus akan menjadi mercu tanda kembara-kembara dakwah yang telah dilakukan.

Meskipun Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama telah wujud di daerah Ranau, tetapi  hanya individu atau murid yang memenuhi syarat serta layak sahaja yang dapat memasuki institusi ini. Justeru, individu serta saudara-saudara seislam yang tidak mempunyai sijil-sijil kelayakan serta dalam waktu yang sama memerlukan ilmu serta tarbiah Islam harus diambilkira keperluan mereka untuk memasuki mana-mana institusi. Adalah menjadi harapan agar  kewujudan pondok itu kelak  bakal memenuhi keperluan  golongan-golongan berkeperluan seperti mereka.

Tuan Haji Safrin turut menyebut beberapa nama yang terlibat dalam kembara sebelum ini termasuklah Tuan Hj. Rauf, saudara Mohd Ayub Jamirin, saudara Asmin bin Nasir serta beberapa individu aktif dan terlibat langsung dengan aktiviti-aktiviti dakwah di Ranau. Harapan beliau agar siri kembara  yang telah terlaksana bakal memberikan pengalaman dan ilham kepada semua yang terlibat sekali gus mempergunakan segala pengalaman itu dalam membangunkan Islam di Ranau. Ia sesuailah dengan tanggungjawab Tuan Haji Safrin sendiri sebagai Ketua Biro Ekonomi dan Kebajikan Badan Dakwah Ranau .

Pengalaman melihat pondok-pondok  yang  giat dibangunkan pejuang-pejuang agama di Indonesia sudah cukup membangkitkan semangat dan membuka minda para peserta kembara. Harapan Tuan Haji Safrin agar gabungan kekuatan tenaga, fikiran, ilmu, kewangan serta apa jua yang dilakukan oleh semua pihak untuk agama Allah tanpa berhitung kira atau mempolitikkannya mudah-mudahan  dinilai Allah sebagai kebaikan. Sebagaimana Allah mengamanahi beliau dengan kekayaan, maka, seperti itu jugalah menjaga kebajikan agama, turut dilihat beliau sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilakukannya sebelum ajal.

Di akhir pertemuan saya dengan beliau, sempat saya mengimbau kisah-kisah beliau sebelum dan selepas kaya. Sebagai individu Islam serta sahabat, tegur-menegur dan saling ingat-mengingatkan untuk kebaikan itu adalah kewajipan. Sewajarnyalah  kita memberi sokongan terhadap usaha-usaha baik yang dilakukan oleh Tuan Haji Safrin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan